Wednesday, July 11, 2012

Pembestarian bahasa Melayu terus terabai

Bahasa Melayu ialah bahasa negara yang berfungsi sekali gus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Ini termaktub pada Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1967, dan Undang-undang Pendidikan Kebangsaan dari tergubalnya Akta Pelajaran 1957 sehingga ke Akta Pendidikan 1996. 

Sebagai bahasa kebangsaan, dan lebih-lebih lagi dalam peranannya sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu ialah bahasa wahana wajib untuk ranah rasmi di negara ini. Untuk ini, bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi “apa-apa jua maksud kerajaan, sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan Negeri, dan termasuk apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”. 
Hal ini yang tercatat pada Perkara 152 Fasal 6 Perlembagaan Negara dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 Seksyen 1, yang merupakan pengertian dan kehendak penggunaan dalam ranah rasmi, sebenarnya adalah terlalu sempit dan minimum sekali.

Pengertian dan kehendak ini selalu difahami dan sering juga dieksploitasi oleh masyarakat Malaysia sebagai hanya bersangkutan dengan urusan dengan kerajaan, yakni sesuatu perkara yang harus diselesaikan dengan pihak pemerintah.


Pengertian dan kehendak ini selalu difahami dan sering juga dieksploitasi oleh masyarakat Malaysia sebagai hanya bersangkutan dengan urusan dengan kerajaan, yakni sesuatu perkara yang harus diselesaikan dengan pihak pemerintah.

Ia juga dianggap sebagai perkara yang dikelolakan oleh pihak kerajaan, iaitu sebarang kegiatan dan acara yang diaturkan oleh pihak pemerintah. 

Selain itu, ia ikut disifatkan sebagai upacara, majlis dan acara yang dikendalikan oleh pihak kerajaan untuk rakyat dan sebaliknya. 
Sebenarnya, ranah rasmi itu luas sekali dan merangkumi antaranya bidang perundangan dan kehakiman, pentadbiran kerajaan dan semua agensinya, pengajian tinggi dan buku ilmiah, pelajaran sekolah rendah serta menengah dan buku teks.

Selain semua ini, ia ikut merangkumi media massa cetak dan elektronik, kegiatan ekonomi dan perdagangan, pembangunan sains dan teknologi, profesion dan pekerjaan, serta upacara, majlis dan acara rasmi, baik yang dianjurkan oleh pihak awam mahupun swasta. 

Ranah rasmi adalah medan pengaruh yang amat berwibawa lagi berprestij, yang menguasai kehidupan seluruh warga sesebuah negara itu, dan bahasa, termasuk ragam yang digunakan untuk ranah rasmi ini, sebenarnya adalah bahasa dan ragam yang disanjungi dalam negara berkenaan, oleh semua lapisan dan sektor masyarakat. 

Dalam konteks di Malaysia, ragam bahasa yang dimaksudkan ialah ragam baku bahasa Melayu. Ragam ini hendaklah digunakan dalam keadaan bestari, iaitu baik dan betul, dan sepenuhnya, yakni dari awal hingga ke akhir, sama ada sewaktu bertutur mahupun menulis, khususnya dalam penggunaan rasmi.

Pematuhan dua syarat linguistik ini, iaitu penggunaan bestari dan sepenuhnya adalah perlu sekali sebagai salah satu langkah penting untuk mengimbuh wibawa kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Selain kewibawaan ini, dua syarat ini juga boleh mempertingkat kedominanan bahasa Melayu dari pelbagai aspek. Antaranya termasuklah perundangan, ideologi dan tindakan. 

Bagaimanapun, dua syarat linguistik ini tidak selalu dipatuhi. Yang sering terjadi adalah tiga perkara berikut. Pertama, penggunaan bentuk bahasa yang melanggar peraturan nahu baku bahasa Melayu.

Kedua, bahasa Melayu yang menggunakan bentuk bahasa Inggeris yang bukan pun kata serapan dalam bahasa Melayu.

Ketiga, penggunaan bahasa Inggeris, sama ada secara sebahagian atau sepenuhnya untuk menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa wahana wajib.

Nota: Berapa ramaikah pemimpin kita memperjuangkan Bahasa Melayu ini?Atau menjadi retorik saja apabila bercakap?Dimanakah Akta Bahasa Melayu setelah 55 tahun kita merdeka?