Monday, November 5, 2012

Adakah Pembangunan Pendidikan Perlu Inovasi Berterusan?


Kurikulum hendaklah seiring dengan pasaran kerja semasa

Daya saing bidang pendidikan banyak bergantung kepada tahap kualiti kurikulum pengajiannya. Oleh kerana itu, kita dapati banyak inisiatif penyelidikan dilakukan oleh pakar pendidikan tertumpu dalam pembangunan aspek ini pada masa kini. Ia bagi menjamin pendidikan benar-benar dapat memenuhi peranan asasinya sebagai wadah atau saluran terpenting pembangunan manusia, seterusnya memastikan generasi yang dibangunkan dapat bersaing secara yakin di pentas dunia baru yang serba mencabar pada masa depan. 
Dalam makalah Voice terbitan The University of Melbourne, (vol 8, no 8), Gabrielle Murphy misalnya memulakan tulisannya dengan persoalan, apakah bentuk kerjaya yang bakal diceburi oleh seorang kanak-kanak yang dilahirkan pada 2012 selepas beliau menamatkan pendidikan tinggi pada 2035? 


Bentuk pekerjaan sentiasa berubah

Dalam telahan Murphy, kanak-kanak ini berkemungkinan besar sudah tidak lagi dapat menceburi bidang pekerjaan yang kebiasaan dilakukan oleh ibu bapa mereka hari ini selepas 23 tahun akan datang. Kepesatan perubahan dan pencapaian dalam kehidupan manusia hari ini terutama dari ilmu, maklumat, kemahiran dan kemudahan, akan menjadikan bentuk-bentuk pekerjaan pada masa depan juga berubah sepenuhnya.

Ini adalah antara asas yang mendorong pakar pendidikan hari ini memberikan tumpuan khusus dalam merencana program pembangunan kurikulum pendidikan yang mengandungi kualiti daya saing yang tinggi bagi memastikan generasi pelajar hari ini mampu berdepan dengan perubahan pekerjaan dan kehidupan yang serba mencabar dan tidak menentu pada masa depan.

Dalam kata lain, kurikulum pendidikan harus sentiasa bersifat responsif terhadap perubahan dan dinamik dari segi pengamalannya. Kurikulum pendidikan dan pembelajaran yang bersifat beku atau jumud akan berdepan dengan persoalan relevensi atau kesesuaiannya dalam menyumbang kelahiran generasi berdaya saing mendepani cabaran perubahan. 
Dalam dekad-dekad mendatang, dunia akan terdedah dengan pelbagai penciptaan baru dan ia akan mempengaruhi gaya hidup manusia dan cara mereka melakukan pekerjaan. Realiti perubahan ini bukan suatu yang terlalu sukar untuk kita fahami. Lihat saja kesan yang sudah disumbangkan oleh kemajuan di bidang komunikasi dan media terhadap kehidupan kita hari ini. Pembangunan teknologi baru di bidang ini sudah mengubah cara manusia memperoleh maklumat, berhubung dan berhibur. 

Konsep televisyen, misalnya sudah berubah sepenuhnya sekiranya dibandingkan sejak dua tahun yang lalu. Manifestasinya tidak lagi statik, tetapi kini bercorak digital dan mudah alih. Teknologi komunikasi yang canggih ini juga mempengaruhi corak manusia berurusan dalam bidang kewangan, perubatan, perdagangan dan lain-lain lagi. Bidang pendidikan juga tentu tidak kebal daripada menerima kesan perubahan dunia ini. Untuk itu, ia perlu bersiap siaga secara lebih efektif bagi mendepaninya. 

Apakah bentuk persediaan yang perlu dilakukan bidang pendidikan bagi mendepani realiti perubahan ini? Bagi pakar pendidikan, pembangunan kurikulum pendidikan yang bersifat inovatif adalah antara aspek teras yang mesti diutamakan kini. Ia adalah jalan keluar yang akan memastikan generasi yang dibangunkan hari ini tidak ketinggalan oleh arus deras perubahan masa depan. 

Inovasi kurikulum pendidikan ini harus menyeluruh mencakupi kandungan ilmu yang harus diketahui pelajar serta kaedah atau teknik pembelajaran setiap bidang pengajian. Program inovasi ini juga harus menggabungjalinkan seluruh ruang, persekitaran dan teknologi pembelajaran bagi memberikan kesan tertinggi terhadap pencapaian pendidikan. 

Dalam beberapa penemuan berkenaan model kurikulum pendidikan berinovasi, pakar pendidikan mengesyorkan aspek membabitkan pembelajaran ilmu bercorak merentas disiplin, pengukuhan daya kepemimpinan, penghargaan kepelbagaian budaya dan pembinaan generasi berwatak global perlu diperluaskan pelaksanaannya serta harus menjadi teras penting pembangunannya. Bagi tujuan itu, pembangunan teknik pembelajaran berasaskan pemikiran kritis, ketrampilan meneroka keluasan dan kekayaan sumber ilmu serta kemahiran bekerja secara berpasukan hendaklah diterapkan dalam proses pembelajaran.

Kesepaduan kaedah pembelajaran 

Inovasi dalam pembangunan kurikulum pendidikan juga disyorkan memberi tumpuan dari segi kesepaduan kaedah pembelajarannya. Komponen formal dan tidak formal dalam sistem pendidikan harus saling berperanan secara melengkapi. Menerusi model ini, proses penguasaan ilmu tidak hanya lagi tertumpu dari segi pengajian secara formal di dalam kelas atau buku teks tetapi dalam masa yang sama dijayakan melalui kaedah tidak formal membabitkan pembangunan persekitaran dan budaya pembelajaran yang kreatif dan segar dalam sesebuah institusi pendidikan.

Model ini menganjurkan agar ruang dan peluang interaksi antara pelajar sesama pelajar dan pelajar dengan komuniti diperluaskan pada tahap maksimum. Ini akan membabitkan banyak pelaburan dari segi persediaan prasarana pembelajaran seperti keperluan memperbanyakkan ruang interaksi dan diskusi, memanfaatkan infrastruktur seperti bilik darjah, bangunan, kantin, surau dan perpustakaan sebagai pusat sumber pengetahuan dan galakan kegiatan mobiliti pelajar bersama komuniti setempat atau antarabangsa.

Sumber :Muhamad Razak Idris; Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

No comments: