Saturday, April 27, 2013

HARI GURU

Tidak lama lagi semua akan menyambut hari guru iaitu 16 Mei . Walau bagaimana pun pernah kita terfikir didalam benak kita siapa kah guru kita sebenarnya. Dimana sekolah kita sebenarnya?. Ya ... guru kita yang pertama ialah ayah dan ibu kita ; dan sekolah pertama kita ialah rumah kita.  Kita dihantar kesekolah bukan untuk jadi pandai tetapi menjadi orang yang berilmu. Sama ada kita suka atau tidak ibubapa kita ialah orang pertama menjadi guru kita.Sementara guru-guru yang mengajar disekolah itu menjadi pengantara sahaja. Jadi jangan fikir guru itu segala-galanya.

Mari kita lihat tema hari guru tahun ini.


Tema Hari Guru

2013 GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA

HURAIAN 1ASPIRASI:

Semua Guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025 iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.

HURAIAN 1AGENDA:

Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013-2025.  Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsafah.


Satu persoalan sudahkah semua guru-guru mencapai aspirasi tersebut?

Wednesday, April 3, 2013

Pendidik Mesti Berinnovasi

Memantapkan daya saing hadapi cabaran globalisasi

Cabaran yang dihadapi oleh institusi formal atau sukarela ialah bergerak seiring perubahan. Teknologi komunikasi maklumat (ICT), misalnya berlaku amat pantas dan tidak ada yang dapat menghalang berlaku proses globalisasi yang memberi kesan besar kepada cara hidup, kaedah penyampaian, cara berkomunikasi, budaya dan nilai hidup manusia keseluruhan yang tidak mendapat kesan langsung atau tidak daripadanya. Ini termasuk dalam proses pembelajaran dan pembelajaran formal atau tidak, malah juga pembelajaran kendiri. Hakikatnya tidak ada siapa pun yang harus menafikan keperluan ini, malah cuba hidup terasing daripada gelombang yang berlaku. 



Sesebuah institusi menjadi tidak relevan, tertinggal atau terasing daripada arus kemajuan dan perkembangan jika mengabaikannya. Mereka yang bijak memanipulasi atau memanfaatkannya pula berada di hadapan walaupun ia mungkin hanya institusi kecil yang tidak mendapat perhatian.

Mencapai Matlamat Pendidikan

Jika tidak berhati-hati, ia boleh pula menyumbang kepada penyalahgunaan, lalu timbul keperluan perundangan lebih berkesan dan kaedah kawalan sesuai termasuk dalam memberikan pengiktirafan dan kemungkinan memalsukan dokumen seperti yang pernah berlaku di negara ini atau di seluruh dunia.
Ini penting apabila kita melihat matlamat pendidikan tinggi negara untuk “Memenuhi tuntutan negara bagi menyediakan sumber tenaga manusia mahir dan berkelayakan, sesuai dengan keperluan negara yang baru merdeka dan sedang membangun” seperti laporan jawatankuasa mengkaji semula hala tuju pengajian tinggi (2006) usaha meningkatkan keberkesanan prosesnya harus dilihat dengan teliti.
Apatah lagi jika melihat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan dengan jelas “Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketerampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Idealisme ini perlu didukung proses pembelajaran yang lebih terbuka dan anjal tanpa perlu menubuhkan jawatankuasa khas mengkajinya. Semua pihak yang terbabit dengan proses penyampaian pengajian tinggi perlu meneliti dan merungkai bukan saja dasar institusi tetapi keupayaan individu yang sesetengahnya mungkin ketat serta rigid pemikirannya tanpa melihat impak yang diberikan selain mengeluarkan graduan yang berijazah saja.

Sesetengah dasar, peraturan, prosedur atau proses yang berlaku mungkin sudah lama berjalan tanpa sedar yang tentu dibuat dengan tujuan murni untuk mengawal selia bagi memastikan kualiti dan piawaian terkawal serta terpelihara. Namun, sesetengah proses dan cara pelaksanaannya boleh dilihat semula. Mungkin juga dasar dibuat dengan baik, tetapi proses dan kaedah penyampaian perlu penambahbaikan. Sesetengah mereka yang terbabit melihat peraturan yang ada dengan begitu ketat hingga terpaksa berdebat panjang dalam mencapai sesuatu keputusan

Meningkat kreativiti, inovasi

Semua ini harus dilihat dalam konteks keperluan meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam pengajian tinggi demi memastikan mereka yang lahir daripada sistem yang ada benar-benar menguasai ilmu dan memiliki keupayaan untuk memenuhi matlamat pendidikan tinggi dan falsafah yang ditetapkan.

Pengajian tinggi sebagai sebahagian daripada proses sosialisasi tidak harus dilihat terasing daripada kehidupan. Bagaimana misalnya internet dan teknologi komunikasi maklumat dapat dimanfaatkan dalam proses penyampaian ilmu secara terbuka tetapi terkawal. Apatah lagi dalam konteks kebebasan akademia dan menggalakkan pemikiran terbuka dan komunikasi yang berakauntabiliti dan bertanggungjawab.

Pengajian jarak jauh misalnya, perlu manfaatkan teknologi komunikasi dalam penyampaian ilmu yang tentu berbeza daripada pengajian sepenuh masa. Baik kursus yang ditawarkan mahu pun kaedah perbincangan bersemuka yang berbeza antara pensyarah dan pelajar perlu diteliti. Begitu juga bebanan dan cara kerja pensyarah serta pengajar juga perlu dilihat secara berbeza antara masa kini dengan sebelumnya. 

Keanjalan masa, kursus, pembolehubah kaedah penilaian dan peraturan yang mengekang untuk seseorang mengikuti pengajian serta memperoleh ilmu, selaras dengan kepesatan keperluan guna tenaga termasuk dalam kalangan mereka yang bekerja dan mengikuti pengajian termasuk pada peringkat ijazah tinggi dalam membantu mereka memperoleh ijazah dan ilmu pengetahuan yang diinginkan.



Sumber:Berita Harian (4/4/13)


Nota: Adakah pendidik kita sudah dapat menggunakan sepenuhnya teknologi ICT ini. Jangan jadikan komputer anda barang hiasan diatas meja sahaja.

Aktiviti Perguruan

Dengar kabar guru-guru di Negeri Sembilan sudah membuat blog berkaitan aktiviti professionalisme mereka.Syabas di ucapkan. Boleh layar di http://ppsmns-biroprof.blogspot.com/.Semoga maju jaya.