Thursday, July 11, 2013

Syarat Ketat Menjadi Guru.Adakah Ia Realistik?

Syarat baharu Kementerian Pendidikan iaitu hanya pelajar memperoleh sekurang-kurangnya 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak memohon jurusan perguruan bermula tahun ini disifatkan sebagai tidak realistik.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata, pelajar yang cemerlang di dalam bidang akademik bukan satu jaminan untuk melahirkan guru terbaik.
"Apa yang lebih penting mereka hendaklah mempunyai minat, kemahuan, aktif serta sifat kasih sayang yang begitu tebal kepada anak-anak murid.

"Saya percaya pelajar-pelajar yang memperoleh 5A atau 6A dalam SPM juga mampu menjadi seorang guru yang baik lebih-lebih lagi sekiranya mereka benar-benar berminat untuk menjadi seorang guru," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Kementerian Pendidikan mengenakan syarat baharu iaitu hanya pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 7A dalam SPM layak memohon jurusan perguruan berkuat kuasa tahun ini.
Kelonggaran walau bagaimanapun diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak yang hanya disyaratkan memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam SPM memandangkan terdapat jurang pencapaian akademik antara negeri itu dengan negeri-negeri di Semenanjung.
Mohamed Sabri berkata, pelajar-pelajar yang memperoleh 7A dalam SPM pada kebiasaannya akan memilih bidang-bidang lebih profesional seperti doktor atau jurutera apabila melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.

"Ini realiti yang berlaku. Hakikatnya, profesion perguruan tidak dapat menjanjikan pulangan lumayan kepada mereka berbanding bidang-bidang profesional yang lain.
"Saya minta Kementerian Pendidikan merombak semula syarat baharu ini. Jangan disekat peluang pelajar-pelajar SPM yang mendapat kurang daripada 7A menjadi seorang guru," ujarnya.
Untuk menjadi seorang guru, tambah beliau, terdapat lima asas yang perlu dipenuhi iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Setiausaha Agung Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng ketika mengulas isu sama berkata, kelayakan akademik semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran untuk memilih seorang guru yang baik.

Tegas beliau, sebaliknya pemilihan guru hendaklah dibuat dalam satu pakej dan bukan sekadar kelayakan akademik sahaja memandangkan profesion tersebut melibatkan elemen-elemen kemanusiaan yang begitu tinggi.

Beliau berkata, antaranya mereka yang bercita-cita mahu menjadi guru mesti mempunyai sifat kasih sayang serta beberapa sifat lain yang perlu ada pada seorang pendidik.
"Sememangnya NUTP tidak bersetuju dengan syarat baharu ini. Bagi kami mereka yang mendapat 5A atau 6A di dalam SPM kemudian berminat menjadi seorang guru wajar diberi peluang oleh pihak kementerian," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130711/dn_06/Dua-kesatuan-perguruan-anggap-syarat-SPM-7A-untuk-jadi-guru-tidak-realistik#ixzz2Ynd2eHLz
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Komem: Wow!! macam nak jadi saintis!

No comments: